Singapore

Australia

Philipines

ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Followers

Sunday, April 4, 2010

BAHAN MAKLUMAT - Konsep 1 Malaysia ( Penjelasan Mengenai Lapan Nilai)


‘1 MALAYSIA’

(Disediakan Oleh: Bahagian Penerbitan Dasar Negara)

1. PENGENALAN
Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka
sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar
dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi
bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.
Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa
rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan
Prinsip-Prinsip Rukun Negara
1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat
Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan
dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap
saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang
mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB
Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur,
berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan
tanggungjawab kepada negara.
1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang
diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam
merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi
perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata
paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi
dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan
tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa,
tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara
Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan
mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi
kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat,
tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap
bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama.
Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan
daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina
Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan
rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti,
kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya
kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan
integiti.
2. DEFINISI
Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita
mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera
asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada
golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.
Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.
2.1 Huraian
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :
2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan
masing.
Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People”
menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum
masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan
etnik dan kaum.
Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa
mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada
perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaumkaum
yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.
Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua
kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan
negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala
keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.
2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia
“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara
kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan
dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan
keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.
Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak
melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaumkaum
lain.
3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN
MALAYSIA
Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki
kelainan seperti berikut:
3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas
binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta
tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih
kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.
3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal
integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang
hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara
Malaysia.
4. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA
Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep
1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam
bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas
dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN
TERDAHULU
Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh
YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan.
Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan
oleh Perdana Menteri terdahulu.
Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha
memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana
Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun
matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.
6. MATLAMAT
‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam
kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini
akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian
berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun
Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA
Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam
konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia
dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan
nilai-nilai tersebut adalah:
1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti
7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN
Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian
yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana
budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.
7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi
sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.
7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan
menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain
terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.
7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi
menentukan kecemerlangan dan kejayaan.
7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan
ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan
eksport.
7.2. KETABAHAN
Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka.
Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan
pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.
7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan
Negara.
7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala
rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.
7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi
memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.
7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada
dan perlu memperbaikinya secara positif.
7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin
maju dan berjaya
7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi
menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan
7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan
diri, masyarakat dan negara.
7.3 RENDAH HATI
Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati
dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga
dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.
7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang
lain.
7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan
dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.
7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi
mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.
7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana
kita berada.
7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah
diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai
rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.
7.4. PENERIMAAN
Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada
ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif
menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur
terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa.
Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya
diterima dengan ketidakjujuran.
7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat
persetujuan secara bersama.
7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi
membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina,
India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat
negara ini.
7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara
adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum,
etnik, agama dan fahaman politik.
7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan
projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya
ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.
7.5 KESETIAAN
Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa
berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada
negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada
kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.
7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi
yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.
7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua
pihak.
7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan
ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.
7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi
menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau
kekurangan adalah lambang setia kawan.
7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan
niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.
7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu
ditegur atau dikritik.
7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.
7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian
dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.
7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak
bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak
disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.
7.6 MERITOKRASI
Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi
memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu
pembangunan negara.
7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan
perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan
tersebut..
7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang
ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.
7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya
cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.
7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat
melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang
ditetapkan.
7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar
dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing
membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik
merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.
7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran
globalisasi/liberalisasi.
7.7 PENDIDIKAN
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai
kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang
berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.
7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan
dari segala-galanya.
7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang
sentiasa terbuka.
7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah
vernakular.
7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India
hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.
7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai
bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.
7.8 INTEGRITI
Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat.
Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh
semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.
7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.
7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.
7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah
perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.
7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam.
Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.
7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar
diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan
panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan
7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau
melalui saluran tidak sah.
7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan
negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri,
keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.
8. KESIMPULAN
Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi
memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana
kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan
adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat
perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan
kepentingan negara.
Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya
perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat
atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan
daripada kerajaan.
Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan
tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’
ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua
rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita
rasa untuk bersama memajukan negara.
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat
penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan
pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan
kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada
perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu
kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.
Sumber:
1. www.1Malaysia.com.my
2. Akhbar-akhbar tempatan
3. Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...